Pengenalan Kerangka Kelayakan Malaysia

Kerangka Kelayakan Malaysia adalah deklarasi Malaysia tentang kelayakan-kelayakan tempatan dan kualiti yang dimiliki oleh kelayakan-kelayakan tersebut.

KKM merupakan instrumen yang membangun dan mengklasifikasikan kelayakan berdasarkan satu set kriteria yang dipersetujui di peringkat kebangsaan dan ditanda aras dengan amalan antarabangsa dan menjelaskan tahap pembelajaran, hasil pembelajaran dan sistem kredit yang berasaskan beban pembelajaran pelajar. Kriteria ini diterima dan diguna pakai bagi semua kelayakan yang dianugerahkan oleh pemberi pendidikan tinggi. Justeru KKM mengintegrasi dan menghubungkan semua kelayakan negara.

KKM juga menyediakan laluan-laluan pendidikan yang menghubungkaitkan kelayakan-kelayakan secara sistematik. Ini membolehkan individu memajukan diri dalam pendidikan tinggi melalui pemindahan kredit dan pengiktirafan pengalaman-pembelajaran terkumpul (accreditation of prior experiental learning) yang diperoleh daripada pembelajaran formal, tidak formal dan informal tanpa mengira masa dan tempat, dalam konteks pembelajaran sepanjang hayat.